*****
Saya, Hannah, Kak Wani, Athirah dan ayah Hannah (En. Aini) menuju ke Petaling Jaya, tempat dimana letaknya Wisma MCIS Zurich. Selepas beberapa lama berada di dalam kereta, kami akhirnya sampai di destinasi yang dituju, iaitu Lifecare Diagnostic Medical Centre.

A very comfortable place indeed. :)
Kami pun masuk dan bertemu dengan kakak-kakak yang menjaga kaunter. Semuanya manis-manis belaka, malah ramah pulak tu. Setelah menyerahkan dokumen-dokumen yang berkenaan, kami diminta untuk bergambar dengan seorang akak cun yang bekerja di situ. Okey, bukan begitu sebenarnya. Akak cun tersebut mengambil gambar wajah-wajah kami yang comel menggunakan sebuah kamera digital, seorang satu gambar (kat muka je). Akak tu ambil gambar dari jarak yang agak dengan dengan muka kami, sehinggakan bila saya pandang kamera, mata saya seakan juling. o_O
Selesai dengan gambar, kami pergi ke kaunter pembayaran untuk membayar bayaran yang kami perlu bayar. Semuanya Ringgit Malaysia 220. Resit diterima dan dari situ bermulalah medical check-up kami. Saya tak mampu nak tulis panjang mengenai prosedur yang telah diambil kerana saya tak dapat nak mengingati urutan dan rentetan peristiwa yang telah kami jalani. Tapi yang pasti, berat badan dan tinggi kami telah direkod, di samping tekanan darah dan ujian penglihatan. Nasib baik dia tak buat ujian ingatan, kalau tak mesti saya dah fail.
Kemudiannya ujian air kencing (hantar urine kat dalam bekas kecil tu je, bukannya dia buat depan kitorang pun), dan selepas itu x-ray. X-ray... tak payah cerita lah. Kami sempat berjumpa Chrisnarita, kawan kami yang juga melakukan medical check-up beliau di situ. Beliau dah hampir siap masa tu. Selesai x-ray, kami tunggu di ruang menanti sebelum dipanggil untuk berjumpa doktor.
Giliran saya berjumpa doktor. Doktor tersebut berbangsa Cina dan saya bernasib baik sebab beliau adalah perempuan. Melihat beliau mengingatkan saya kepada Dr. Khoo Bee Lee, lecturer yang mengajar saya subjek Human Development semasa di semester pertama degree di IPG Kampus Pulau Pinang. Saya berasa sedikit tidak keruan sebab saya rasa doktor tersebut seakan tegas dan garang. Tapi sebenarnya beliau amat baik hati dan murah dengan senyuman. Saya je yang perasan lebih. Lega saya bila doktor kata, "Good, you're all fine."
Oh ya, sebelum saya berjumpa doktor, saya telah diminta untuk sekali lagi menyerahkan urine untuk diuji, atas alasan urine saya yang sebelum ini mengandungi protein. Saya terpaksa membayar Ringgit Malaysia 15 untuk ujian air kencing yang kedua itu. Agak kesal di situ, kerana saya terpaksa minum air yang banyak untuk meng-ada-kan urine "baru". Habis sebotol air kosong saya minum, nah ambil kau. Padan muka, siapa suruh makan nasi lemak berlauk daging pagi tu, malam sebelum tu pulak makan burger (entah ayam ke daging, tak ingat dah).
Habis saja medical check-up, kami pun keluar dan mula berbincang ke mana arah tuju kami selepas itu. Berbagai idea muncul entah dari mana, akhirnya kami setuju untuk ke Mid Valley. Saja nak jalan-jalan. Kami pun menaiki kereta yang dipandu ayah Hannah dan turun di satu tempat yang berdekatan dengan bangunan Mid Valley. Memang sungguh kena jalan la, dah kata nak jalan-jalan. Kami tersalah jalan sebenarnya, patut masuk ikut jalan lain. Tapi akhirnya kami berjaya menemui jalan masuk ke tempat parking kereta. Sampailah jugak kami.
Kami pergi menunaikan solat Zuhur di surau Mid dan selepas itu kami menyedari bahawa perut kami bermain lagu keroncong. Kami pun bertelagah berbincang di mana kami boleh isi perut kami. Bila melintas di hadapan sebuah kedai makan yang bernama "The Spaghetti Farm", kami berasa tertarik dan terus masuk dan memesan makanan. Bila makanan sampai, kami semua terliur menyaksikan spageti yang telah dipesan. Sedaaaaaapp mengalahkan Mi Sedaap. Maaf, gambar kami tiada di sini sebab hanya Athirah sahaja yang membawa kamera beliau. Dan saya tidak berkesempatan mengambil salinan gambar-gambar comel kami dari beliau. Tapi saya ada gambar ini untuk anda.

The Spaghetti Farm. Design dia lebih kurang je dengan yang dekat Mid Valley.

Spageti yang Kak Wani pesan rupa dia lebih kurang macam ni
Dengan perut yang kembong kenyang dan hati yang girang, kami melangkah keluar dan memulakan misi window shopping kami. Berjalan dan berjalan dan berjalan dan menemukan Chocolate Fair di tingkat 4 (atau 5, tak ingat dah) dan berjalan lagi. Saya sempat membeli beberapa lolichoc yang sememangnya enak dan lazat. Juga merasa hampir semua jenis produk coklat yang ada di sana.

Ni poster Chocolate Fair yang saya jumpa di Google.
Setelah beberapa puluh minit mengusha macam-macam benda di Chocolate Fair, kami pun meneruskan window shopping kami.
Bila selesai dengan window shopping, kami pun berpakat untuk pulang ke rumah masing-masing. Jam sudah pukul 5.30 lebih semasa kami membeli tiket komuter. Saya, Athirah dan Kak Wani turun ke platform tempat menunggu tren. Kami teramat terkejut kerana terdapat sangat ramai manusia yang sedang menunggu tren. Tren yang sampai beberapa minit selepas itu pula mengandungi penumpang yang teramat ramai. Dan memenuhi segenap ruang di dalam tren. Kami bertiga tidak mampu masuk ke dalam tren walaupun setelah mencuba sedaya upaya. Akhirnya kami biarkan saja orang lain naik. Kami pun terus menunggu tren yang seterusnya sambil duduk bersila dan menikmati coklat yang telah dibeli oleh Athirah. Serius. Macam orang berkelah. Lama jugak menunggu, dan bila tren tiba kami sekali lagi bersesak-sesak dalam lautan orang ramai. Itu koc wanita, kalau koc biasa entah tak tau macam mana cik gadis-cik gadis nak jaga diri.
Dalam sesak-sesak tu, saya dan Athirah berjaya memasukkan diri ke dalam tren, namun Kak Wani tak dapat diselamatkan. Beliau terpaksa menunggu tren yang seterusnya. Dalam tren, depan belakang kiri dan kanan saya semuanya bersentuhan dengan badan perempuan-perempauan lain yang sama nasib seperti saya. Saya turun di stesen Bandar Tasik Selatan untuk menaiki LRT ke Ampang. Athirah pula bakal turun di stesen KTM UKM, jadi saya mengucapkan selamat kepada beliau sebelum turun.

Yang atas LRT, yang bawah komuter.
Saya tak pernah menjejakkan kaki ke stesen Bandar Tasik Selatan sebelum itu, jadi saya berasa agak janggal keseorangan di tempat tersebut. Saya beli tiket LRT ke Ampang walaupun saya kurang jelas bagaimana untuk sampai ke stesen LRT Ampang kerana perlu transit di stesen Chan Sow Lin. Mahu tak mahu, saya terpaksa naik juga LRT. Saya turun di Chan Sow Lin, dan tergesa-gesa naik LRT di platform lagi satu tanpa menyedari saya tersalah naik LRT - LRT ke Sri Petaling. Selamba gila. Tren LRT tu pergi Bandar Tasik Selatan balik. -_-' Bila dah sedar salah LRT, saya pun turun di Bandar Tasik Selatan dan menaiki LRT yang melalui Chan Sow Lin, sekali lagi. Nasib orang tak kenal, jadi saya buat-buat cool sajalah. Turun di Chan Sow Lin, saya akhirnya berjaya menaiki LRT yang betul iaitu yang menuju ke Ampang. Agak lama la saya duduk dalam tren LRT tersebut, dan dalam hati macam-macam saya fikirkan. Tersenyum sendiri bila ingat balik naik LRT yang salah. Segan gila. Kat diri sendiri.

Peta Perjalanan LRT. Klik untuk besarkan.
Dalam pukul 7 malam, saya sampai di stesen Ampang. Hati terasa amat lega. Tapi belum sampai rumah lagi, kena naik bas pulak. Saya memang sangat tak bernasib baik bila saya tersalah naik bas pula. Sepatutnya naik bas RapidKL, tapi kaki ni gatal sangat nak jugak jejak kaki dalam bas bandar yang sesak! @#$%$!
Saya mulanya menyangkakan bas yang saya naik tu adalah bas yang betul. Saya tanya pada konduktor bas, lalu tak Bandar Baru Ampang? Dia cakap, lalu. Saya pun naik la terus. Saya rasa saya kenal sikit-sikit jalan kat Bandar Baru Ampang tu, boleh la kot nak tau bila patut turun bas. Tapi malangnya, sepanjang perjalanan bas, saya langsung tak dapat mengecam jalan. Agak lama di dalam bas, lebih kurang 45 minit. Bas berhenti banyak kali dan orang ramai turun seperti biasa. Tapi agak luar biasa bila hampir semua orang dah turun, saya dan seorang lagi budak lelaki masih di dalam bas. Konduktor bertanya, nak turun kat mana? Saya jawab la Bandar Baru Ampang. Dia pun cakap, "Laa, tadi kenapa tak turun bila sampai Bandar Baru?" Saya jawab perlahan, "Mana la tauuuu." Abang konduktor tu tanya soalan yang sama pada remaja lelaki yang senasib dengan saya tu, dan dia kata Kuala Lumpur. Saya tak berapa faham apa yang dia cakapkan, tapi abang konduktor tu faham, jadi tiada masalah di situ.
Sewaktu saya dan budak lelaki itu "disoalsiasat", saya menyedari bahawa bas tersebut sudah sampai ke tempat bas-bas lain parking. Ala-ala terminal begitu. Jalan pula agak gelap dan itu menambahkan kerisauan yang bersarang di hati. Bas membuat u-turn di satu jalan mati dan terus melalui jalan-jalan yang tak pernah saya nampak sebelum ini. Bas bergerak selama beberapa minit dan agak perlahan geraknya. Sakit hati mengenangkan beliau yang kurang prihatin dengan diri saya. Saya nak cepat la! Bukan nak bersiar-siar tengok pemandangan malam yang gelap gelita! Pak cik driver yang berbangsa Indon rancak bersembang dengan seorang wanita Indon yang menaiki bas itu. Gayanya seperti mereka berdua kenal baik. Saya mendengar perbualan mereka dengan terpaksanya.
Bas kemudiannya menurunkan budak lelaki tersebut dan meneruskan perjalanan. Jam menunjukkan pukul 8 malam. Setelah beberapa lama, konduktor bas memberitahu saya untuk turun kerana bas sudah sampai di Bandar Baru Ampang. Saya pun turun dan segera mengecam Bank CIMB yang terletak di tepi jalan simpang tiga di mana letaknya perhentian bas tersebut. Saya mengucapkan terima kasih kepada abang konduktor yang baik dan peramah (boleh la kot) dan terus mengatur langkah. Ke mana?
Ke rumah yang terletak satu kilometer lebih dari Bank CIMB tersebut. -_-' Saya rasa, betul la kot jalan yang saya pilih tu. Dalam gelap saya terus meredah jalan dan longkang dengan perasaan yang cukup kecewa. Berjalan dengan hati yang risau kalau-kalau benda yang tak baik berlaku. Berjalan dengan penuh keletihan. Tapi semangat untuk pulang ke rumah membara-bara, maka kaki terus melangkah dan melangkah, berjalan di tepi jalan besar yang menuju ke kawasan flat yang bersebelahan dengan masjid. Dari jauh saya dapat melihat kubah masjid. Hati mula berasa tenang, langkah kaki semakin laju. Saya melintas jalan yang sedikit lengang itu dan bergegas menggunakan jalan pintas ke flat. Sesampai saja di flat, bibir terasa ringan untuk mengukir senyuman. Abang dan kakak ipar ada di rumah, tapi mereka langsung tak bertanya apa-apa. Saya pun senyap jela. Padahal terlalu banyak cerita yang saya ada. Saya terus mandi bila sampai di rumah. Letih yang teramat. Lega juga yang teramat. Ada sedikit rasa kurang percaya yang saya telah berjaya memulangkan diri ke rumah.
Oh, lupa untuk saya beritahu, sepanjang perjalanan tersebut saya memakai kasut wedges yang tinggi. Melecet tu tak payah cakap lah. Lepas solat, saya sempat online sekejap menggunakan komputer abang saya yang beliau tempatkan di dalam bilik saya. Lepas tu, terus tidur pengsan. Tak ingat dunia dah. Makan pun tak ingat langsung walaupun perut kosong.
Keesokkannya iaitu hari Sabtu, saya pun tulis entri yang bertajuk "Jalan-jalan cari jalan di KL". Jadi inilah dia bab yang kedua dan terakhir.
Sekali lagi maafkan saya dari hujung rambut hingga hujung kaki kerana mengambil masa yang amat lama untuk menulis bab ini. Semoga dimaafkan. :)



0 dedicated readers raised up their hands:
Post a Comment